Sunday 1 April 2012

permainan bahasa

 3.2      Objektif Permainan Bahasa                    
Permainan bahasa yang diintegrasikan dalam pengajaran seharusnya mempunyai beberapa objektif yang tentu. Antaranya seperti yang berikut:

( a )     Merangsang interaksi verbal pelajar
Dalam permainan, pelajar akan diminta bercakap untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mereka. Di samping itu, mereka juga diminta memberikan alasan-alasan tertentu yang berkaitan. Lazimnya, mereka perlu terlibat sepenuhnya secara aktif dalam permainan itu. Setiap ahli kumpulan akan merasakan diri mereka diperlukan dalam kumpulan itu dan pada bila-bila masa sahaja mereka akan diminta bercakap dan mengutarakan pandangan. Tiada seorang pun daripada mereka dibiarkan bersendiri dan terkecuali. Sebaliknya, mereka harus mengutarakan tekad dan berazam sepenuhnya untuk berkomunikasi. Kesedaran seperti ini akan memberi peluang kepada guru menghasilkan satu suasana pembelajaran  yang menarik dan berorientasikan pelajar. Guru hanya bertindak sebagai fasilitator dan menjaga disiplin kelas.

( b )     Menambah kefasihan dan keyakinan
Permainan bahasa boleh digunakan sebagai satu cara untuk
meningkatkan kefasihan berbahasa serta menambahkan keyakinan
diri. Bahasa yang digunakan dalam sesuatu permainan itu tidak harus terhad kepada beberapa struktur ayat sahaja. Fungsi bahasa boleh melibatkan semua peringkat kerumitan berbahasa yang berbeza-beza. Permainan yang mengandungi kegiatan memberikan arahan umpamanya, boleh dimainkan pada semua peringkat bergantung pada pengetahuan bahasa dan kefasihan tertentu pelajar. Pelajar biasanya merasa seronok apabila dihadapkan dengan permainan yang mencabar. Secara tidak langsung mereka akan menyedari kebolehan dan keupayaan mereka dalam bahasa yang dipelajari. Peranan guru sebagai pemaklumat bahasa sangatlah penting. Guru harus bersedia memenuhi keperluan pelajar dalampermainan tersebut, terutama dalam konteks kepelbagaian bentuk kosakata serta kecanggihan tatabahasa dan sintaksis.

( c )     Menyediakan konteks pembelajaran
Permainan bahasa membawa perkembangan perhubungan yang positif dalam kalangan individu yang terlibat, bukan sahaja antara pelajar dengan pelajar tetapi juga antara pelajar dengan guru. Permainan bahasa membantu merapatkan hubungan dan kerjasama antara mereka. Ini merupakan satu suasana yang sihat dan berfaedah kepada para pelajar,khususnya yang bersifat pemalu dan pasif. Dalam permainan, mereka dapat menunjukkan kecergasan, di samping terlibat secara berkesan dalam apa sahaja aktiviti yang dijalankan.

( d )     Alat mengikis rasa bosan
Pada waktu-waktu tertentu, umpamanya pada waktu menjelang tengah hari, pelajar akan merasa bosan, mengantuk dan lapar. Bayangkan sahaja bagaimana guru dapat menyampaikan pengetahuan tentang tatabahasa dan aspek-aspek pemahaman dalam keadaan yang melesukan. Begitu juga dengan aktiviti kelas yang melibatkan penulisan karangan dan pembentukkan ayat-ayat. Pada saat ini permainan bahasadapat menimbulkan perasaan gembira dan menyebabkan mereka lupa sekejap rasa lapar dan mengantuk. Permainan mewujudkan komunikasi dalam bentuk yang semula jadi dan memenuhi keperluan pelajar apabila berhadapan dengan dunia sebenar. Permainan ini berasaskan keadilan dan pertandingan, akan merangsang pelajar untuk bertindak balas,memprotes dan memberikan hujah. Dengan ini, pelajar dilatih berhadapan dengan interaksi kehidupan sebenar yang bakal dilalui oleh mereka dalam kehidupan di luar bilik darjah.




(e)       Alat pemulihan, pengukuhan dan pengayaan
Dalam pengajaran bahasa, permainan boleh dijalankan dalam pelbagai bentuk mengikut tujuannya. Justeru, permainan sangat berguna dalam aktiviti pemulihan, pengukuhan dan pengayaan. Kebanyakan pelajar yang lemah menghadapi masalah pengamatan dan pendengaran. Kelemahan ini dapat diatasi sedikit demi sedikit melalui aktiviti permainan yang dirancangkan. Jika tiada langkah yang diambil untuk mengatasi kelemahan ini, pelajar berkenaan akan menemui kesukaran menyebut bunyi, huruf, membunyikan suku kata dan perkataan. Selepas sesuatu pengajaran, gerak kerja pengukuhan pula diadakan. Latihan yang dijalankan secara berterusan mungkin membosankan pelajar. Walau bagaimanapun, aktiviti  pengukuhan masih boleh diteruskan dengan syarat latihan dan latih tubi
yang diperkenalkan itu dipelbagaikan dalam bentuk aktiviti permainan bilik darjah.Pelajar di dalam sesebuah kelas, biasanya mempunyai pelbagai peringkat kebolehan, misalnya kumpulan cergas, sederhana dan lemah.Sesetengah pelajar mempunyai perasaan malu yang tebal dan ada juga yang pendiam atau tidak begitu ramah. Namun demikian, mereka perlu dilibatkan sama supaya perasaan negatif yang menguasai diri mereka itu dapat dihapuskan. Sebagai aktiviti pengayaan, pelajar yang lemah boleh digalakkan mengambil bahagian bersama-sama dengan pelajar yang cergas melalui permainan yang dijalankan. Namun, mereka ini harus diberikan tugas yang mudah yang bersesuaian dengan kebolehan dan kemampuan mereka. Bagi pelajar yang cergas pula, permainan dalam aktiviti pengayaan akan menambahkan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman mereka.




.

        3.3           Ciri-ciri permainan bahasa
Sebelum seseorang guru itu melaksanakan pendekatan permainan bahasa ini. Guru tersebut mestilah terlebih dahulu mengetahui tahap IQ dan EQ ( Emosional Quality ) murid yang akan diajarnya. Hal ini amat penting supaya set permainan bahasa yang bakal diajar nanti tidak membosankan atau menjemukan murid. Ini kerana tahap pemikiran dan penerimaan murid adalah berbeza antara satu sama lain. Bagi murid yang mempunyai tahap pemikiran cerdas dan pintar, (genius) pemainan bahasa ini lebih merupakan proses pengukuhan dan pengayaan. Sebaliknya bagi murid-murid yang lemah IQ ianya merupakan satu teknik pemulihan untuk membantu mereka memahami proses pembelajaran.Pastikan permainan bahasa ini dilaksanakan sebaik sahaja guru sudah memperkenalkan semua perkataan-perkataan yang telah dipelajari oleh murid. Ia mesti dilaksanakan bagi mengukuhkan lagi ingatan dan memupuk minat murid terhadap pembelajaran tersebut.
 
3.3.1. Ciri-ciri umum
(a)  Gambar-gambar untuk permainan hendaklah terang dan senang    
difahami.
(b)  Arahan dan peraturan permainan hendaklah jelas dan dapat      dipatuhi.
(c)  Pelajar yang pandai dan berkebolehan akan membantu guru       
membaca arahan-arahan permainan.
(d)  Jika permainan itu mengunakan kad, sila pastikan ia senang dan mudah dikendalikan, dan perkataan yang tertulis hendaklah terang dan mudah difahami dan dibaca.
(e)   Beri perhatian kepada pelajar yang sentiasa tewas dalam permainan. Beri peluang kepadanya sebagai pemerhati untuk jangkamasa yang tertentu
(f)   .Pastikan permainan itu mempunyai objektif yag hendak dicapai.
(g)  Sebaiknya alat BBM (Bahan Bantu Mengajar) disediakan sendiri oleh guru terbabit.  Apa yang penting alat-alat tersebut memenuhi fungsi dan mencapai matlamat.
(h)  Hentikan permainan anda ketika pelajar masih lagi terasa seronok dengan permainan itu. Ini penting supaya pelajar tidak jemu untuk permainan seterusnya.

3.3.2   Ciri-ciri Khusus
·         Dapat mengukuh dan meningkatkan penggunaan bahasa seperti penguasaan empat kemahiran berbahasa iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis.
·         Mempunyai rangsangan dan bahan yang menarik.
·         Memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi antara pelajar dengan pelajar, pelajar dengan guru dan tindak balas pelajar dengan bahan.
·         Dapat merangsang pelajar bertindak balas secara aktif dan positif.
·          Melibatkan pelajar secara aktif sama ada dalam kumpulan atau kelas.
·          Mempunyai arahan dan peraturan yang jelas.
·         Mencabar dan menggalakkan pelajar untuk berfikir secara rasional dan kriritis




         


       3.4            Pengelolaan  Permainan Bahasa
Menyediakan pelajar atau kumpulan tertentu yang diperlukan untuk melaksanakan aktiviti adalah satu faktor yang penting bagi memastikan kejayaan sesuatu permainan. Organisasi bilik darjah mestilah dirancang dengan baik. Tidak kurang penting adalah pelajar itu sendiri tahu dan faham apa yang harus mereka lakukan. Pelajar boleh dibahagikan kepada pasangan, kumpulan kecil yang mengandungi tiga atau empat orang ahli atau aktiviti yang melibatkan keseluruhan kelas. Aktiviti berpasangan atau kumpulan diadakan bertujuan untuk menggalakkan semangat bekerjasama, iaitu tolong-menolong dalam suasana harmoni bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Ia juga dapat mempereratkan perhubungan dalam kalangan pelajar, di samping mereka harus menggunakan kecerdasan mental dan kecergasan fizikal bagi mencapai matlamat permainan.
3.4.1               Secara Berkumpulan
Permainan bahasa boleh dilaksanakan dalam kumpulan kecil. Biasanya, empat hingga enam orang pemain dalam satu kumpulan sudah memadai. Bilangan ahli dalam satu-satu kumpulan adalah penting dalam menentukan kelancaran permainan. Jika bilangan pelajar dalam sesebuah kelas terlalu ramai, guru hendaklah membahagikan pelajar dalam banyak kumpulan. Keadaan ini mungkin kurang selesa, terutama jika saiz bilik darjah itu kecil. Walau bagaimanapun, jika keadaan ini tidak dapat dielakkan, permainan tersebut boleh digantikan dengan jenis permainan bahasa yang dilakukan di luar bilik darjah.

3.4.2               Secara Berpasangan

Aktiviti berpasangan merupakan satu bentuk gerak kerja yang efektif dalam melibatkan penyertaan pelajar. Permainan bahasa secara berpasangan boleh memberikan lebih banyak peluang latihan mendengar dan bertutur. Biasanya, permainan secara berpasangan tidak banyak menimbulkan masalah jika dibandingkan permainan secara kumpulan. Guru lebih mudah untuk mengawal pasangan pelajar dengan bergerak dari satu pasangan ke satu pasangan yang lain
3.4.3               Secara individu
Permainan secara individu amat sesuai untuk aktiviti pengayaan. Cara ini biasanya dilakukan untuk pelajar yang pintar dan cerdas serta telah menyiapkan tugas yang diberikan oleh guru dalam sesuatu masa tertentu. Dalam permainan, pelajar berfikir sendirian untuk menyelesaikan masalah yang diberi. Jika masalah itu tidak dapat diselesaikannya, pelajar boleh merujuk kepada guru untuk mendapatkan petunjuk dan panduan.